USAHAWAN BERJAYA - SENDAYU TINGGI



PROFIL PENGASAS SENDAYU TINGGI
KISAH KEJAYAAN PENGASAS PRODUK SENDAYU TINGGI PUAN ROZITA IBRAHIM

 

Puan Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi. Bila membaca kisah kejayaan beliau, kita pasti akan mendapat motivasi kerana walau apa jua latar belakang kita, jika kita berusaha, pasti akan mendapat kejayaan. Jom baca artikel dibawah.

Hidup ini ada penawar dan racun

WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Pepatah “hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat” sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa. Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.

Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Kepada wartawan RAHANA MD dan jurugambar MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu pejabat Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.


1. Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk berubah?

ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek kerana kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, saya hidup serba kekurangan. Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.

Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun kami tetap susah.

Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota dan membuat macam-macam kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. Terasa lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.

2. Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?

Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup susah.
Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Saya lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

3. Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika itu?

Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus meningkatkan jualan.

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan, saya mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..

4. Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?

Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang meningkatkan pencapaian pendapatan dan ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi apabila saya bangun dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang. Namun, saya belajar daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.

5. Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?

Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping menerapkan dalam diri mereka agar berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya turut menyalur sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang tetapi saya dapat menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama saya kini mahu membantu mereka terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan pendapatan.

6. Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?

Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang kepada kita memilihnya. Saya berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan yang menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Saya percaya hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas, lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.
7. Apakah pencapaian terkini anda?

Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.

8. Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?

Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di pasaran Malaysia selama tujuh tahun, saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui roadshow yang berbentuk motivasi.

0 comments:

Post a Comment